
Polis berjaya menyelamat seorang lelaki warga India yang diculik dan dikurung di sebuah bilik di sebuah rumah tumpangan di Tampoi, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata lelaki berumur 28 tahun itu diselamatkan kira-kira jam 4.30 petang selepas polis menerima maklumat berkaitan penculikannya.
Kata Mohd Khalil pejabat Suruhanjaya Tinggi India meyalurkan maklumat awal kepada Ketua Unit Perhubungan Antarabangsa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
“Keluarga mangsa ada membuat laporan di India setelah menerima mesej tuntutan wang tebusan daripada penculik.
“Mangsa dilaporkan diculik sekumpulan lelaki dan meminta wang tebusan berjumlah RM200,000 dan jika tidak, diancam bunuh,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru malam tadi.
Mohd Khalil berkata rakan mangsa yang merupakan seorang lelaki rakyat India juga telah membuat satu laporan polis di Shah Alam, Selangor, pada 12.49 tengah malam kelmarin.
Bertindak atas maklumat berkenaan, beliau berkata polis menyerbu sebuah rumah tumpangan di Tampoi kira-kira jam 4.30 petang semalam lalu menemui mangsa yang diikat dan dikawal oleh tiga lelaki warga Pakistan.
Katanya mangsa diselamatkan dan tiada kecederaan serius dialami. Dia kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Polis berjaya menahan tiga lelaki Pakistan berusia antara 26 dan 29 tahun itu untuk siasatan lanjut.
“Pihak Suruhanjaya Tinggi India akan dimaklumkan tentang kejayaan menyelamatkan warganya dalam tempoh tidak sampai 24 jam maklumat diterima,” katanya.
– Bernama








