Pelantikan Ketua Kampung di Johor selesai pada September

JOHOR BAHRU: Pelantikan 674 jawatan Ketua Kampung yang kosong ketika ini di seluruh Johor akan selesai dan diumumkan kerajaan negeri, awal September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata ketika ini pihaknya sedang melaksanakan proses temu duga semua calon yang sudah menghantarkan permohonan bagi mengisi kekosongan perjawatan itu.

Katanya, kerajaan negeri menerima sebanyak 1,496 permohonan bagi mengisi jawatan Ketua Kampung iaitu dua kali ganda berbanding jawatan ditawarkan, dengan tarikh tutup permohonan 10 Jun lalu.

“Jadi, beberapa proses perlu dilakukan untuk menyaring mereka yang betul-betul berkebolehan. Bermula minggu ini, kita akan melalui proses menemubual semua pemohon.

“Kita juga sudah meminta komitmen semua Pegawai Daerah untuk mengetahui bila proses temu duga ini dapat diselesaikan, yang dijangka selesai 31 Julai ini kecuali daerah Kluang, Pontian dan Batu Pahat dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini kerana jumlah permohonan yang lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Johor di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah RISDA Johor, Daman Huri Toha.

Dzulkefly berkata, sejurus berakhir proses temu duga, semua calon akan dibawa ke peringkat dalaman bagi mendapat perakuan daripada Setiausaha Kerajaan negeri dan Menteri Besar Johor.

Katanya, bagi melancarkan proses sokongan kerajaan negeri untuk manfaat masyarakat, arahan juga sudah dikeluarkan untuk semua Penghulu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen untuk menggalas sementara tanggungjawab berkenaan.

“Kita tidak mahu ada urusan tertangguh, jadi Penghulu diberikan tanggungjawab sementara untuk menyelesaikan sebarang inisiatif sokongan daripada pihak kerajaan,” katanya. – Foto Hairul Anuar Rahim