KUALA LUMPUR: Beberapa menteri dan timbalan menteri dijangka mengangkat sumpah esok berikutan Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara. Berdasarkan surat jemputan untuk majlis itu, lapan Senator akan mengangkat sumpah di Dewan Negara termasuk kepemimpinan tertinggi parti politik.
Mereka yang akan mengangkat sumpah adalah Datuk Ismail Ibrahim; Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Dr Mohd Radzi Md Jidin; Marzuki Yahya; P Waytha Moorthy; Liew Chin Tong; Datuk Hussin Awang dan Asmak Husin. Difahamkan lima daripada lantikan itu adalah mereka yang terbabit dengan parti politik.
Raja Kamarul Bahrin adalah Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu manakala Liew Chin Tong adalah Ahli Strategi DAP yang juga Pengerusi DAP Johor ; Dr Mohd Radzi pula adalah Ketua Bahagian Ketereh, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) manakala Marzuki adalah Ketua PPBM Pulau Pinang.
Waytha Moorthy pula adalah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) yang sebelum ini membuat pengakuan sudah menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan sokongan orang India kepada parti itu bagi kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2013 melalui lantikan Senator. Beliau kemudian meletakkan jawatan selepas 10 bulan berkhidmat tanpa memberitahu alasan peletakan jawatan itu.
Kelima-lima senator itu mengangkat sumpah atas lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala Husin dan Asmak dipilih Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Kelantan. Difahamkan majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri baharu akan diadakan di sebelah petang esok, di Istana Negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan ada tiga kekosongan bagi jawatan Timbalan Menteri yang akan dilantik dalam kalangan Senator.
Bulan lalu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyatakan seorang senator yang menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri akan dilantik dari Kelantan atau Terengganu walaupun PH gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di kedua-dua negeri itu PRU-14 lalu.
Sumber memberitahu, kemungkinan Raja Kamarul Bahrin, Dr Mohd Radzi dan Chin Tong akan dilantik Timbalan Menteri. Chin Tong pernah menjadi Ahli Parlimen DAP bagi Parlimen Kluang dan pada PRU-14 lalu beliau kalah selepas bertanding di Parlimen Ayer Hitam kepada calon Barisan Nasional (BN) iaitu Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Setakat ini, hasil semakan senarai Menteri dan Timbalan Menteri, satu kekosongan untuk jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga Hal Ehwal Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berikutan dalam kementerian terbabit ketika ini hanya dilantik Timbalan Menteri iaitu Dr Md Farid Md Rafik.
Bagi jawatan Timbalan Menteri, tiga kementerian yang masih kekosongan adalah Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Sumber memberitahu, berdasarkan latar belakang senator yang dilantik, Raja Kamarul Bahrin mungkin tidak akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan kerana Menterinya adalah Mohamad Sabu, juga adalah Presiden AMANAH, sekali gus memungkinkan Raja Kamarul Bahrin bakal menjadi Timbalan Menteri Luar.
Sementara itu, Dr Mohd Radzi yang juga bekas pensyarah perakaunan forensik berkemungkinan dilantik Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Sejak dua minggu lalu, sumber PH menyatakan kemungkinan Chin Tong bakal dilantik Timbalan Menteri Pertahanan sebagai satu langkah strategi memecahkan imej angkatan tentera disertai satu kaum saja dan pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan kanan kerajaan yang sekian lama dipegang orang Melayu.









