JOHOR BAHRU: Kerja-kerja menaik taraf terminal Larkin Sentral di bawah pengurusan Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) akan diteruskan dengan peruntukan RM85 juta menerusi Program Waqaf Saham Larkin Sentral sehingga 2019.
Projek transformasi terminal bas secara menyeluruh itu sebahagiannya membabitkan kerja naik taraf terminal pengangkutan dengan sistem e-ticketing.
Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Yakop Haron berkata, sistem e-ticketing yang dikenali sebagai Sistem Tiket Berpusat (CTS) dan Sistem Operasi Terminal (TOS) dibangunkan dengan kos RM20 juta.
“CTS adalah pembelian tiket secara dalam talian dan hanya penumpang yang mempunyai pas berlepas sahaja dibenarkan memasuki balai berlepas untuk menaiki bas.
“TOS pula digunakan oleh pemandu untuk menurunkan dan mengambil penumpang di platform terminal membabitkan bas yang berdaftar,” katanya pada sidang media di Pejabat Pengurusan Larkin Sentral di sini, hari ini.
Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Yakop Haron.
Yakop berkata, DASB yang juga anak syarikat Johor Corporation (JCorp) juga memperuntukkan RM45.5 juta bagi projek menaik taraf tempat letak kenderaan tujuh tingkat yang dijangka memakan masa setahun setengah untuk disiapkan.
“Apabila siap kelak, Larkin Sentral bakal memiliki 1,400 parkir kenderaan termasuk 430 tapak sedia ada di kawasan menunggu teksi.
“Kerja menaik taraf tempat letak kenderaan di sebelah pasar awam menjadi tempat letak kenderaan bertingkat dijangka bermula September tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2003 hingga 2014, DASB sudah membelanjakan RM23.4 juta bagi menaik taraf bangunan Larkin Sentral.
Menurutnya, DASB juga sedang menyediakan 20 unit lot kedai untuk disewakan kepada peniaga dalam kalangan ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah.
“Projek ini dibangunkan dengan kos RM4.5 juta dan adalah sebahagian daripada khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.








