KPDNHEP tak perlu Majlis Penasihat dalam urustadbir

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan menubuhkan majlis penasihat di peringkat kementerian kerana kepimpinan sedia ada sudah memadai untuk mengemudi kementerian.

Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata buat masa ini beliau tidak memerlukan sebuah struktur (majlis penasihat) baharu untuk membantu memantau perjalanan kementeriannya.

“Saya belum bergerak ke arah (penubuhan majlis penasihat) itu. Setakat ini, saya dan timbalan, Chong Chieng Jen yakin dengan barisan pimpinan kementerian sedia ada.

“Bagi saya, sudah memadai dengan komitmen kerja sedia ada. Soalnya adalah memerah potensi sedaya mungkin dan bukannya sekadar penubuhan sebuah struktur baru,” katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Serah Tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini, hari ini.

Yang turut hadir bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan majlis penasihat masing-masing yang diberikan skop dan kerja khusus untuk dilaksanakan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, isu kos sara hidup menjadi isu paling utama yang akan ditangani kementeriannya dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, semua pihak perlu berganding bahu serta mengerah tenaga menguruskan isu berkenaan.

“Kita memerlukan masa untuk menangani perkara ini. Harga yang naik bukan sahaja membabitkan dasar kerajaan tetapi juga merangkumi hal ehwal peniaga serta pengguna.

“Dalam hal ini, kita perlu pastikan pengguna perlu diperkasakan, penguatkuasaan dipertingkatkan dan peniaga didekati,” katanya.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *