Kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Tindakan (Blueprint) bulan depan


JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Tindakan (Blueprint) meneraju kemajuan dan pembangunan Johor untuk 10 tahun akan datang, bulan depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata ia akan dilancarkan 18 Ogos ini sebagai simbolik 100 hari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita ada blueprint baharu iaitu perancangan negeri ini sehingga 2030.

“Bukan sahaja blueprint itu, kita juga akan melancarkan moto baharu iaitu Negeri Johor Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Lestari.

“Kita juga akan melancarkan HJ 1.8 iaitu Harapan Johor, 1 Matlamat, 1 Visi, 8 Teras,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Gotong-Royong Mega Membanteras Aedes Peringkat Negeri Johor 2018 di Taman Anggerik di sini, hari ini.

Osman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pemuda UMNO Johor bahawa kerajaan PH hanya menyalin kulit atau ‘copy & paste’ idea kerajaan BN tanpa ada satu pelan hala tuju jelas dan memberi impak untuk lima tahun pentadbiran.

Katanya, sejak awal mengambil alih pentadbiran negeri ini, beliau sudah menyatakan bahawa projek atau perkara baik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri yang dilaksanakan kerajaan terdahulu akan diteruskan.

“Awal-awal lagi saya sudah cakap, sebarang perkara yang baik kita akan teruskan, tetapi yang memudaratkan, kita semak balik dan mungkin juga diberhentikan.

“Sudah 61 tahun mereka mentadbir negara, tidak mungkin tiada yang baik mereka lakukan. Jadi, yang baik, kita teruskan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, soal pembangunan Johor adalah dalam perancangan pihak pentadbiran dan setiap yang ingin dilakukan memerlukan perbincangan.

“Satu benda yang kita hendak buat, perlu ada perbincangan, kita mesti fikirkan hala tuju yang baik. Ia mungkin mengambil sedikit masa.

“Kita akan umumkan beberapa perkara yang tercatat dalam manifesto PH yang ditawarkan sebelum ini, ia akan dapat dipenuhi. Kita sudah 85 peratus siapkan, hanya 15 peratus lagi di peringkat akhir,” katanya.

OSMAN (kanan) hadir di program Gotong-Royong Mega Membanteras Aedes Peringkat Negeri Johor 2018 di Taman Anggerik di Johor Bahru, hari ini. – Foto Izlaily Nurul Ain Hussein