Keunikan indah Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru merupakan salah satu monumen bersejarah yang menunjukkan kebesaran Kesultanan Johor sejak dahulu lagi.

Ia bukan sahaja terkenal kerana seni binanya yang menarik tetapi juga kedudukannya di pinggir Selat Tebrau. Walaupun usianya kini mencecah 125 tahun, keaslian bentuk seni binanya tetap tidak berubah dan sentiasa berdiri teguh.

Masjid yang menelan belanja RM400,000 dan mampu menampung seramai 2,000 jemaah pada satu-satu masa ini dibangunkan pada tahun 1893 dan dibuka secara rasmi oleh DYMM Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1900.

Ia diberi nama Masjid Sultan Abu Bakar mengambil nama ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar yang menitahkan pembinaan masjid itu dan digunakan buat pertama kalinya pada hari Jumaat 1 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 2 Februari 1900 untuk Solat Jumaat.

Masjid itu mempunyai ciri-ciri rekabentuk masjid-masjid di Asia Barat, malah ukiran yang menghiasi ruangan dalaman mempunyai persamaan dengan ukiran-ukiran yang terdapat di Masjid Sultan Hassan, Mesir dan juga Masjid Imam Shafie.

Ia mempunyai menara dua tingkat iaitu bulat di bahagian atas dan empat segi di bahagian bawah serta berkubah.

Empat buah menara berkubah masjid turut dihiasi dengan lampu-lampu yang diimport dari Turki serta ukiran menarik pada tiang-tiang khasnya pada mimbar tempat khatib membaca khutbah.

Batu marmar yang menghiasi Masjid Sultan Abu Bakar pula diimport dari Itali dan apa yang menarik ialah dinding masjid dikatakan dibina dengan campuran putih telur yang digaulkan dengan simen.

Jurutera yang bertanggungjawab ke atas pembinaan masjid ini ialah Dato’ Yahya Awaluddin manakala pelukis pelan dan kerja-kerja pembangunan masjid oleh Haji Mohamad Arif bin Punak.

#sultanjohor
#royalpressoffice

, ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *