Bas, pemandu ada saman tak boleh bawa penumpang

SEREMBAN: Pemandu dan bas ekspres yang dikesan mempunyai saman tertunggak tidak dibenarkan meneruskan perjalanan walaupun membawa ramai penumpang untuk pulang menyambut Aidilfitri bermula esok sehingga 22 Jun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Sempena Perayaan Aidilfitri yang dilancarkan hari ini.

Beliau berkata, syarikat pengendali bas ekspres perlu memastikan semua kenderaan dan pemandu mereka bebas daripada masalah termasuk saman tertunggak sebelum dibenarkan membawa penumpang.

“Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat pemeriksaan di semua stesen dan terminal bas utama di seluruh negara dan semua rekod bas serta pemandu akan diperiksa.

“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menjalankan ujian saringan dadah terhadap pemandu bas.

“Tindakan tegas ini diambil supaya syarikat bas memandang serius isu keselamatan penumpang selain memastikan pemandu lebih berhati-hati di jalan raya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen dan operasi itu di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shahruddin Khalid.

Siew Fook berkata, kempen dan operasi bertemakan `pandu cermat, sampai selamat’ yang berlangsung serentak dengan Ops Selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, antara lain turut disertai JKJR, AADK, Angkatan Pertahanan Awam, bomba, Kementerian Kesihatan, MIROS dan syarikat konsensi lebuh raya.

Katanya, matlamat utama pelaksanaan kempen dan operasi itu adalah bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kadar kematian yang disifatkannya amat serius dan membimbangkan.

“Jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya pada tahun lalu meningkat sebanyak 2.4 peratus iaitu 533,875 kes berbanding 521,446 kes pada 2016.

“Keberkesanan Ops Bersepadu ini dapat dilihat berdasarkan penurunan kadar kematian sebanyak 5.76 peratus sepanjang tempoh kempen dan operasi pada Aidilfitri tahun lalu iaitu 6,740 berbanding 7,152 (2016),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, larangan kenderaan barangan termasuk lori dan treler memasuki lebuh raya dan jalan Persekutuan pada 13, 14, 23 dan 24 Jun, bagi mengelakkan kesesakan teruk dan kemalangan serius.

Sementara itu, Siew Fook, berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau sendiri akan muncul dalam dua video kempen keselamatan JKJR yang akan disiarkan di televisyen dan media sosial, minggu hadapan.

“Kita tidak mempunyai bajet besar kali ini, jadi kita tidak bayar artis untuk berlakon buat kempen, sebaliknya kita minta Tun M sendiri yang mempunyai pengaruh paling besar di Malaysia `berlakon’ untuk memberi peringatan mengenai keselamatan jalan raya.

“Kita sudah selesai membuat rakaman bersama Tun M semalam dan kini dalam proses suntingan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *