2 maut bas terbabas langgar pembahagi jalan

TANGKAK 25 Jun – Dua penumpang maut, manakala tujuh termasuk pemandu bas cedera selepas kenderaan tersebut dipercayai terbabas di Kilometer 163.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pukul 3.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah Tee Suang Lee, 55, dan P. Suthan, 33.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, bas yang membawa 37 penumpang itu berlepas dari Terminal Bas Larkin menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 12 tengah malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, bas dipandu lelaki berusia 46 tahun itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan di lorong kiri.

“Ekoran itu, empat termasuk pemandu bas berkenaan parah, manakala tiga lagi cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/2-maut-bas-terbabas-langgar-pembahagi-jalan-1.696269#ixzz5JQLCTjbH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *