Songkok kartun tarikan kanak-kanak

MOHD Fahirurazi menunjukkan songkok kartun ciptaan terbaru miliknya untuk tarikan bayi dan kanak-kanak dijual di Bazar Ramadhan Taman Suria. - Foto Omar Ahmad

JOHOR BAHRU: Sebelum ini songkok berkonsepkan bendera daerah negeri pernah menjadi tarikan terutama pada hari keraian dan sambutan hari merdeka.

Tahun lalu pula, songkok berkonsepkan susunan abjad nama menjadi tarikan hasil ciptaan Pengusaha Sinar Songkok Melayu, Mohd Fahirurazi Yahya, 37.

Tampil lebih unik dan comel, pada Aidilfitri kali ini Mohd Fahirurazi menampilkan songkok bercorak kartun yang dijual khas untuk bayi hingga kanak-kanak berumur 6 tahun.

Katanya, idea itu tercetus sebulan sebelum Ramadan apabila dia dan isterinya Norafida Abd Rahman, 35 yang kini hamil 8 bulan membuat pemeriksaan jantina dan mengetahui anak yang bakal lahir pada minggu pertama Aidilfitri adalah lelaki.

“Rasa teruja dengan kelahiran kali ini, biarpun bayi ini adalah anak ketiga kami tetapi jarak sembilan tahun untuk menimang anak semula membuatkan saya rasa tidak sabar.

“Selepas mengetahui jantina anak dalam kandungan adalah lelaki, terus terdetik idea untuk menghasilkan songkok bercorak kartun kerana ia sangat comel.

SONGKOK kartun ciptaan terbaru untuk tarikan bayi dan kanak-kanak dijual di Bazar Ramadhan Taman Suria. - Foto Omar Ahmad

“Setakat ini saya sudah menghasilkan 12 corak songkok dan samping berkonsepkan kartun menggunakan kain kapas,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Suria, di sini, semalam.

Mohd Fahirurazi berkata, tidak semua jenis kain sesuai untuk dibuat songkok terutama kain jenis licin.

Katanya, kaedah menghasilkan songkok kartun ini juga memerlukan kemahiran kerana kalau silap menjahit kain pada songkok tidak tegang dan nampak tidak kemas.

Menurutnya, sepanjang minggu pertama Ramadan saya sudah menjual 10 songkok dan samping kartun.

“Ada pelanggan dari Pasir Gudang yang mahu sedondon dengan anaknya pada pagi Syawal dengan memilih untuk mengenakan songkok dan samping bercorak kartun.

“Ini adalah minat saya, biarlah apa orang hendak kata yang penting saya tidak mahu pemakaian songkok ini terus lenyap.

“Sekurang-kurangnya saya berusaha untuk memperkenalkan songkok kepada generasi muda dengan corak yang lebih segar,” katanya.

,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *