PUTRAJAYA 22 Mei – Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mendedahkan bahawa beliau pernah menerima pelbagai ugutan termasuk ancaman bunuh sepanjang mengetuai siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, beliau pernah menyembunyikan diri di Washington, Amerika Syarikat (AS) selepas menerima ancaman bunuh oleh pihak tertentu.
Menurut Mohd. Shukri, beliau terpaksa menggunakan strategi tertentu termasuk menularkan berita kononnya hendak ke Jeddah, Arab Saudi bagi mengaburi mata pihak berkenaan.
“Sebenarnya saya alihkan perhatian mereka kerana saya terbang ke AS atas bantuan rakan-rakan perisik di luar negara.
“Saya amat sedih dan pernah menangis kerana hampir berada di sana, saya ketahui beberapa pegawai kanan SPRM ditukarkan, malah anak-anak buah saya ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, semua laporan berkaitan isu SRC International Sdn. Bhd. dan derma RM2.6 bilion adalah satu cerita benar dan bukannya rekaan semata-semata.
Katanya, beliau amat kecewa kerana dituduh sebagai pembelot dan pengkhianat negara sedangkan beliau hendak menyelesaikan siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa.
“Saya tidak pernah menceritakan mengenai perkara ini sehinggalah hari ini.
“Niat saya bukan untuk balas dendam tetapi demi negara dan memulangkan wang rakyat mengikut lunas undang-undang,” katanya yang menangis semasa berkongsikan pengalamannya itu kepada lebih 100 media. – UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/mohd-shukri-dedah-pengalaman-hampir-dibunuh-semasa-siasat-skandal-src-international-sdn-bhd-1.677292#ixzz5GD71HA1p
© Utusan Melayu (M) Bhd









