Saya beri keterangan bermula 10 pagi hingga 4.30 petang

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beredar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini jam 4.52 petang tadi selepas hampir tujuh jam memberi keterangan untuk kali kedua berhubung siasatan kes SRC International.

Najib ketika ditemui di lobi bangunan berkata, beliau sudah selesai sepenuhnya memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.

“Hari ini, saya hadir memberi keterangan hari kedua kepada SPRM. Saya memberi keterangan bermula 10 pagi hingga 4.30 petang.

“Saya berhenti rehat termasuk untuk solat Zohor selama 40 minit,” katanya.

Katanya, beliau sudah menjawab semua soalan dengan sebaiknya.

Najib berkata, SPRM sudah melakukan proses ambil keterangan dengan profesional.

Selasa lalu, Najib hadir kali pertama ke sini dan meluangkan masa hampir lima jam bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes SRC International.

Terdahulu beliau tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beredar dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya tepat jam 4.50 petang bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International. – Foto Abd Rahim Rahmat

Turut kelihatan peguam Najib, Datuk Yusof Zainal Abidin.

Najib tiba dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire Putih menggunakan nombor pendaftaran QMN11.

Najib dilihat berpakaian kemeja putih dan mengenakan kot berwarna hitam serta berseluar slack kelabu.

Bekas Perdana Menteri itu turut diiringi dua buah kenderaan lain termasuk dua anggota polis pengiring.

Tinjauan NSTP di lobi bangunan Ibu Pejabat SPRM mendapati, lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan dan asing berkumpul di bangunan itu sejak pagi bagi mengikuti perkembangan siasatan membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

, ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *