PASIR GUDANG: Beberapa projek pembangunan baharu termasuk Hospital Pasir Gudang yang belum diberi surat setuju terima (SST) daripada Kementerian Kewangan akan menjalani proses kajian semula.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang berkata, pihaknya akur dengan keputusan dan arahan daripada Kementerian Kewangan termasuk projek mega bagi membolehkan tender projek dibuat secara terbuka sekali gus menjimatkan kos pembinaan.
“Dalam proses kajian bagi kesesuaian dilaksanakan sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad ada memaklumkan projek yang dalam perancangan akan dikaji sama ada perlu atau tidak.
“Projek mega seperti hospital itu akan berjalan kerana ia keperluan rakyat namun kajian akan dilakukan dari segi teknikal, kontrak, harga dan sebagainya.
“Anggaran kasar hospital itu ialah RM500 juta dan kita boleh jimat sekurang-kurangnya 10 peratus iaitu RM50 juta duit rakyat..itu bukan sikit,” katanya ditemui pada sesi taklimat Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT 17) dari empat lorong ke enam lorong di Pejabat Tapak Binaan di Seri Alam, di sini, hari ini.
Mazlan berkata, terdapat projek lain yang terbabit sama turut dikaji semula.
“Seperti hospital ini semua orang tahu dan nampak..yang lain (projek lain) masih dalam maklumat sulit..rahsia kerajaan.
“Saya nak cakap projek itu stop (dihentikan) terus pun belum ada arahan..sekarang ini ditahan dahulu..ini arahan MOF..kita ikut arahan persekutuan,” katanya. – BH Online









