PRU14: Jangan rakam dokumen pilihan raya – SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pengundi terutama yang mengundi secara pos, supaya tidak merakam dokumen berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menyebarkannya menerusi media sosial atau medium komunikasi lain.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata dokumen berkaitan adalah kertas undi, borang atau sampul PRU-14.

Beliau berkata, larangan berkenaan bagi memastikan slogan ‘Undi Adalah Rahsia’ dapat dipelihara selain memelihara keselamatan dan kepentingan awam sepanjang proses PRU-14 berlangsung.

“Mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Individu yang didapati bersalah juga tidak boleh didaftar atau disenaraikan sebagai pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun daripada sabitan itu.

“Jika pada tarikh itu beliau dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. – FOTO BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *