Pikul tugas dengan jujur, ikhlas – Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU: DYMM Sultan Johor bertitah mengingatkan kepimpinan baharu Kerajaan Negeri Johor supaya memikul amanah serta tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, janji-janji yang ditaburkan pada pilihanraya lalu perlu ditunaikan, disamping memastikan pentadbiran yang telus.

“Kerajaan Negeri mestilah bertindak mengikut prosedur, peraturan dan undang-undang,” titah Baginda pada Majlis Istiadat Pengisytiharan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Dewan Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru hari ini (16 Mei).

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, Baginda akan meneliti setiap tindakan dan keputusan Kerajaan Negeri, disamping memberikan nasihat, teguran serta pandangan untuk memastikan kepentingan rakyat dan negeri dijaga.

“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mengkhianati negeri dan rakyat saya atau cuba menghancurkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup Bangsa Johor,” titah Baginda.

Tuanku Sultan Ibrahim turut mengingatkan barisan EXCO yang dipilih supaya memberikan komitmen dan kerjasama yang penuh kepada Menteri Besar.

“Sekiranya ada Ahli EXCO yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya, saya harap Menteri Besar tahu bagaimana untuk menyelesaikannya,” titah Baginda.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, jawatan yang disandang bukan untuk mencari kemewahan atau mengkayakan ahli-ahli parti, sebaliknya perlu menjalankan perkhidmatan dengan penuh integriti, dedikasi, adil dan saksama.

Image may contain: 8 people, people sitting, people standing and indoor
Foto: Royal Press Office
, , , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *