KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membatalkan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura sudah dijangka oleh kumpulan pelabur antarabangsa apabila berlaku pertukaran pentadbiran negara.
Pakar Ekonomi, Datuk Dr Barjoyai Bardai berkata, pelabur juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan terhadap keputusan yang diambil kerajaan baharu termasuk pembatalan projek yang sudah diputuskan kerajaan terdahulu. Katanya, pembatalan itu dilihat sebagai prinsip perniagaan kerajaan baharu yang mungkin dilihat negatif jika ia mahu dilihat dari sudut berkenaan.
“Namun, pelabur kini sedang memerhati bagaimana kerajaan menangani isu pembatalan ini terutama dalam isu pampasan dan penalti. Masyarakat pelabur antarabangsa sudah menjangkakan lebih banyak projek yang dirancangkan akan diubah kerajaan baharu dan kini mereka sedang menilai cara Malaysia menangani perkara ini sama ada secara berhemah atau sebaliknya.
“Saya rasa pasaran antarabangsa melihat pembatalan ini sesuatu yang positif kerana mereka berpandangan banyak pembaziran dari segi kos kerana projek ini ditawarkan pada harga yang terlalu tinggi berbanding projek sama di negara lain,” katanya dihubungi NSTP, semalam.
Beliau mengulas pembatalan projek HSR diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam kerana disifatkan tidak memanfaatkan Malaysia. Dr Mahathir berkata projek berkenaan membabitkan perbelanjaan besar dan negara tidak mendapat keuntungan memandangkan ia membabitkan trek yang pendek. Dr Mahathir berkata, keputusan itu muktamad tetapi mengambil masa kerana mempunyai perjanjian dengan Singapura mengenainya.
Dengan pembatalan itu, Malaysia mungkin perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura. Barjoyai berkata, pada masa sama, pasaran untuk projek HSR masih belum bersedia ketika ini berikutan kemudahan pengangkutan udara dan jalan raya yang efektif, mudah dan diyakini.
Katanya, untuk masa depan kemungkinan HSR diperlukan dan waktu itu dengan kecanggihan teknologi, kos pembinaannya akan lebih murah dan mampu dibiayai kerajaan.
“Pelabur tidak melihat pembatalan ini satu keputusan drastik dan sepatutnya lebih baik jika ia bukan satu pembatalan tetapi satu penangguhan sesuai dengan kedudukan kewangan negara serta perkembangan ekonomi semasa,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali, berkata langkah membatalkan projek HSR ini adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang besar bagi mengukuhkan kedudukan fiskal. Katanya, seharusnya keputusan dihormati kerana ia usaha yang baik untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi.
“Namun, sebelum kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan atau meneruskannya sebaiknya dilihat kos manfaat dengan lebih terperinci. Mungkin perkara ini sudah dibuat. Penilaian itu penting kerana projek pembangunan HSR ini bukannya projek swasta, sebaliknya ia projek infrastruktur awam yang sudah tentu membabitkan kos manfaat langsung serta kos manfaat tidak langsung.
“Kos manfaat langsung adalah mengenai nilai yang perlu dibelanja untuk projek ini dan ia mesti diimbangkan dengan kesan manfaat limpahan projek termasuk potensi penerokaan nilai dan pertumbuhan bandar serta peluang pekerjaan yang dicipta melaluinya. Saya berpandangan kerajaan perlu membuat penilaian yang terperinci terlebih dahulu dan ini memerlukan masa.
“Penilaian ini boleh dibandingkan dengan penilaian yang dibuat kerajaan terdahulu dan jika didapati tidak tepat maka kerajaan perlu membuat penilaian semula.
“Jika hasil penilaian menyatakan perlu dibatalkan maka ia perlu dibatalkan dengan segera. Ada kemungkinan projek ini boleh dilakukan mengikut fasa tertentu seperti mana pelaksanaan projek Lebuhraya Utara-Selatan dan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur. Mungkin juga dengan penilaian baharu disesuaikan dengan kedudukan kewangan termasuk pengurangan hentian HSR,” katanya.
![]() |
| BARJOYAI Bardai. – Foto Salhani Ibrahim |










