“Ogos ini perlu siap Projek Jambatan Plentong”

JOHOR BAHRU: Pemaju projek bagi menggantikan jambatan Sungai Plentong di Jalan Masai Lama, di sini, diberi amaran supaya segera menyiapkan projek berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung, berkata projek itu sepatutnya disiapkan pada Februari lalu sebelum ditangguhkan sehingga Ogos ini. Katanya, projek itu perlu disiapkan segera berikutan terlalu banyak aduan diterima membabitkan keselamatan pengguna jalan raya berkenaan.

“Isu keselamatan pengguna jalan raya bagi mana-mana projek perlu diutamakan. Selain isu kelewatan, isu jalan raya yang gelap juga perlu diberi perhatian kerana ia boleh mengundang kemalangan,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan tapak projek berkenaan, hari ini.

Turut hadir ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Mohamad Salleh Abu Bakar dan Jurutera Daerah JKR Johor Bahru, Abu Bakar Abd Aziz.

Cai Tung berkata, dalam sesi taklimat dan perbincangan bersama JKR serta wakil pemaju atau kontraktor, Ikatan Harmoni Sdn Bhd, pihak pemaju sudah mengambil maklum amaran berkenaan dan berjanji menyiapkannya mengikut tarikh lanjutan iaitu 17 Ogos ini.

Katanya, pemaju juga mengambil maklum mereka boleh dikenakan denda RM5,324 setiap hari sekiranya gagal menyiapkannya selepas tarikh berkenaan. Pada masa sama, Cai Tung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan berkata, pemaju bersetuju menambah bilangan lampu di sepanjang jalan berkenaan ketika proses pembinaan projek dilakukan.

“Kita sudah minta kontraktor ubah suai dan tambah lampu jalan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya. Saya harap dalam masa dua bulan ini, projek ini dapat disiapkan,” katanya.

Projek membina jambatan konkrit sepanjang 40 meter itu sepatutnya siap pada Februari lalu, namun disebabkan oleh beberapa faktor, ia mengalami kelewatan. Antara alasan diberikan pemaju ialah isu memindahkan utiliti, terutama kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kemudahan syarikat telekomunikasi yang ada di sepanjang laluan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *