KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu menanggung kerugian yang besar jika projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan.
Susulan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu mencari jalan alternatif untuk mengurangkan jumlah wang yang perlu dibayar sebelum membatalkan perjanjian dibuat pentadbiran terdahulu.
“Kita akan kerugian besar jika memutuskan untuk membatalkan HSR. Berdasarkan perjanjian dibuat bersama Singapura, kita perlu membayar sejumlah wang yang besar jika mahu menggugurkan projek itu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama akhbar The Edge Weekly.
Projek RM100 bilion itu antara projek mega inisiatif pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang dipantau kerajaan semasa.
Satu lagi projek mega yang sedang dikaji kerajaan ialah pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM60 bilion.
Mengenai ECRL, Dr Mahathir nekad menolak projek itu sambil menyifatkannya sebagai kontrak ‘pelik’ kerana negara perlu membiayai projek itu dengan pinjaman dari China, selain mengupah kontraktor dari negara itu.
“Kontrak itu pelik. Ia menyatakan kontraktor mesti dari China dan pinjaman dari China. Wang pinjaman sebanyak RM55 bilion daripada bank eksport dan import China tidak sepatutnya datang ke sini, tetapi (di luar negeri) untuk membayar kontraktor di China,” katanya.
Apabila ditanya sama ada wang dipinjam untuk projek itu tidak akan dibawa ke Malaysia, Dr Mahathir tidak menolak perkara itu.
“Itulah aturannya dan pembayaran kepada kontraktor, China Communications Constructions Co Ltd, sepatutnya dibuat atas istilah yang terperinci tanpa mengira (peringkat) kerja yang disiapkan. Ia bukan bayaran kemajuan (berdasarkan kerja yang disiapkan),” katanya. – BH ONLINE










