SAUDARA PENGARANG, HARI ini, semua umat Islam mula berpuasa. Justeru kita wajib bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk mengerjakan rukun Islam ketiga itu pada tahun ini. Mungkin ada di antara kaum kerabat dan sahabat-handai tidak dapat mengerjakannya kerana telah kembali ke rahmatullah.
Bagi umat Islam yang mukallaf, mereka wajib berpuasa kerana puasa adalah salah satu rukun yang membentuk rukun Islam. Perintah wajib berpuasa ini terkandung dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:”Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Sesungguhnya setiap detik dalam bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi. Ini kerana Allah SWT memberikan banyak kelebihan dalam bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Dalam bulan Ramadan berlakunya penurunan al-Quran dan dalam bulan yang mulia ini juga akan berlaku lailatul qadr iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
NORLI MARLINA MAMAT
Universiti Sains Islam Malaysia








