Johor negeri pertama potong gaji EXCO 10 peratus

JOHOR BAHRU: Johor menjadi negeri pertama mengikut jejak Kerajaan Persekutuan dengan melaksanakan pemotongan gaji semua anggota EXCO sebanyak 10 peratus.

Pada masa sama, kerajaan negeri mengumumkan untuk meneruskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri, malah diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata mesyuarat EXCO bersetuju untuk memotong 10 peratus hari ini. Katanya, keputusan itu mengikut keputusan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita (kerajaan negeri) tidak pasti sehingga bilakah perkara ini (pemotongan gaji) akan dilaksanakan dan ia bergantung kepada keadaan semasa sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Justeru, kita menjadi negeri pertama yang menyahut seruan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah sama memotong gaji anggota Jemaah Menteri sebanyak 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata, pihaknya berbincang banyak perkara dan akan meneruskan beberapa kertas kerja terdahulu.

“Kita juga meluluskan beberapa perkara antaranya bayaran bantuan khas kewangan 2018 sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri, yang akan dipanjangkan kepada PBT dan badan berkanun Negeri Johor.

“Di samping itu, kita akan mengiktiraf Ketua Pembangkang dan akan memberi elaun serta pejabat untuk beliau, ini adalah satu pengiktirafan yang baharu di bawah pentadbiran PH,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *