Fasa 2A LPG jangka siap sepenuhnya September ini.

PASIR GUDANG: Projek Lebuhraya Pasir Gudang Fasa 2A yang membabitkan keseluruhan kos RM190 juta sudah siap 86 peratus dan dijangka siap sepenuhnya September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, projek di sepanjang 7.7 kilometer itu akan memberi manfaat kepada rakyat sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri itu.

Bagaimanapun katanya, bagi menambahbaik projek infrastruktur sedia ada, pihaknya akan mempertimbangkan keutamaan jalan yang sering berlaku kemalangan.

“Itu perlu tengok keutamaan sebab kesesakan boleh ditunggu tetapi nyawa orang awam bukan boleh dikompromi.

“Sehubungan itu, maklum balas daripada orang ramai perlu terutama kalau ada jalan tidak selamat boleh kemukakan kepada JKR mahupun wakil rakyat dan banyak saluran boleh salurkan aduan. Kerajaan negeri akan pertimbangkan kalau ia baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT 17) dari empat lorong ke enam lorong di Pejabat Tapak Binaan di Seri Alam di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Mohamad Salleh Abu Bakar.

Sementara itu, Mohamad Salleh berkata, Lebuhraya Pasir Gudang di sepanjang laluan Masai Utama dekat sini membabitkan Projek Fasa 2B dari Seri Alam/Taman Rinting ke Pasir Gudang sepanjang 5.5 kilometer dengan kos keseluruhan RM188.1 juta.

Katanya, projek itu masih dalam peringkat perancangan dan menunggu kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum dilaksanakan.

Terdahulu, NSTP melaporkan Lebuhraya Pasir Gudang di Masai Utama mendapati keadaan jalan raya yang bukan saja tidak rata dan bertampal malah terdapat kesan berlubang di tengah jalan.

Laluan yang bermasalah itu bukan saja membahayakan keselamatan orang ramai malah menyebabkan kenderaan rosak.

, ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *