DYMM Sultan Johor mahu suara rakyat dihormati

TITAH DYMM SULTAN JOHOR SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR BERHUBUNG PILIHANRAYA UMUM KE-14 DI ISTANA PASIR PELANGI, JOHOR BAHRU, 10 MEI 2018.

“Saya bersyukur kerana pilihanraya umum yang ke-14 telah berjalan dengan lancar, tertib dan teratur mengikut undang-undang dan amalan demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab dan haknya dalam memilih wakil untuk memimpin kerajaan. Oleh itu semua pihak mestilah menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Tahniah saya ucapkan kepada calon-calon yang telah berjaya dan parti politik yang telah mendapat mandat rakyat untuk membentuk kepimpinan kerajaan negeri.

Semua pemimpin yang telah dipilih hendaklah memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas demi untuk kepentingan kerajaan dan rakyat, bukannya untuk kepentingan peribadi.

Saya sebagai Ketua Negeri akan sentiasa memastikan pentadbiran negeri dijalankan mengikut undang-undang dan selari dengan hasrat rakyat bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan Negeri Johor terus dipelihara.

Waktu untuk berpolitik telahpun berakhir. Sekarang adalah masa untuk bekerja keras untuk memenuhi harapan rakyat.

Pelantikan Menteri Besar Johor dan ahli-ahli exco akan dibuat secepat yang mungkin mengikut adat istiadat dan cara Negeri Johor.

Saya menyeru kepada semua rakyat supaya terus bersatu dan sentiasa mengekalkan keharmonian hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Negeri Johor.”

Image may contain: 1 person, sitting
FOTO: SULTAN JOHOR PRESS OFFICE
, , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *