Datuk Osman Sapian angkat sumpah MB Johor ke-16

Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-16 di hadapan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada jam 3.06 petang tadi (12 Mei).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menerima watikah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam upacara yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan paduka-paduka anakanda serta suami kepada YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim, Encik Dennis Muhammad Abdullah.

Tuanku Sultan Ibrahim dalam titahnya bersedia bekerjasama dengan Menteri Besar dan memberi nasihat dari masa ke semasa.

Baginda turut mengingatkan Datuk Osman agar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh dan memastikan Bangsa Johor sentiasa bersatu.

Osman, 67, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dari Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Johor dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor dalam PRU14 manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

Osman sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal sebelum digugurkan daripada bertanding pada tahun 2013.

Antara yang hadir termasuk Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Presiden PAN Johor Aminolhuda Hassan. – ROYAL Press Office

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *