PONTIAN: Jabatan Imigresen Johor menahan 11 warga tempatan kerana membolosi kaunter pemeriksaan Jabatan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru pada 21 Mei lalu.
Jurucakap Jabatan Imigresen berkata, mereka dihadapkan ke Mahkamah Khas PATI Pekan Nenas di sini, semalam, dan dijatuhi denda keseluruhan sebanyak RM28,000.
Beliau berkata, mereka adalah 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 62 tahun.
Katanya, enam daripada mereka adalah pemandu bas dan van persiaran, manakala lima individu adalah penumpang.
“Mereka gagal menyerahkan pasport masing-masing dan gagal melaporkan diri kepada pegawai Imigresen bertugas ketika meninggalkan Malaysia di Kaunter Bas Keluar BSI,” katanya.
Beliau berkata, antara alasan diberikan pemandu van dan bas adalah mereka tidak sedar wujudnya kaunter Imigresen, selain tidak mengetahui peraturan.
“Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1966 (Akta 150) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
“Pemandu bas dan van dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara, manakala lima penumpang dijatuhi denda RM2,000 atau dua bulan penjara,” katanya.









