KLUANG: Penubuhan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bukan saja sebagai satu gerakan yang membantu membangun bangsa dan tanah air, tetapi memastikan kestabilan, keharmonian serta perpaduan kaum.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau yang melaksanakan transformasi RELA ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri suatu ketika dulu melihat perubahan dan penambahbaikan jabatan itu kini cukup luar biasa.
Katanya, ia dapat dilihat apabila RELA mempunyai keanggotaan beratus kali ganda yang kini mencecah 3.6 juta orang berbanding penubuhannya dulu seramai 500,000 anggota saja.
“Paling penting, anggota RELA membabitkan semua kaum dan bangsa serta agama. Atas faktor itu, RELA tidak pernah dipinggirkan bagi memastikan agenda menyatupadukan masyarakat dapat dilaksanakan termasuk di Parlimen Sembrong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dan Kahang.
“Kita mempunyai agenda, bukan janji kosong, malah di Parlimen Sembrong pelbagai agenda sudah dilakukan membabitkan agenda pendidikan, perumahan, keselamatan dan perubatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra RELA Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Pekan Kahang, hari ini.
Hishammuddin yang juga penyandang Ahli Parlimen Sembrong merangkap Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, kehadiran pakatan pembangkang sekali sekala menidakkan usaha dilakukannya di Parlimen Sembrong.
“Dalam keadaan kita berdepan pilihan raya umum (PRU), ada pihak tertentu masuk kawasan kita menabur fitnah, membawa cerita yang selalunya tidak ada asas langsung.
“Memang mudah orang datang sekali sekala kata kita tak buat itu ini, tetapi tengok pada fakta, jika kita tidak berbuat apa-apa, orang di bawah akan tolak kita,” katanya.
![]() |
| HISHAMMUDDIN menyampaikan pakaian seragam baharu kepada anggota RELA pada Majlis Ramah Mesra RELA Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Pekan Kahang, hari ini. – Foto Adnan Ibrahim |
Terdahulu, ketika berucap, Hishammuddin berkata, usaha mentransformasi RELA juga bagi memastikan jabatan itu tidak diperlekeh dan dipinggirkan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melontarkan cabaran untuk saya mentransformasikan RELA selepas dilihat tidak bermaya dan hilang semangat.
“Ini kerana RELA ditugaskan menjaga majlis perkahwinan, tembak tupai dan mengejar pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
– bharian.com.my










