MUAR: Barisan Nasional (BN) memperkenalkan pelbagai skim bantuan untuk membantu masyarakat luar bandar termasuk Orang Asli di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, skim bantuan itu bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada pembangunan arus perdana.
“Inisiatif dan insentif itu untuk memastikan nasib mereka terbela dan dapat menikmati pembangunan lebih baik walaupun mereka tinggal di kampung-kampung pedalaman.
“BN juga memberi penekanan terhadap pendidikan terutama masyarakat Orang Asli supaya mereka dapat berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan mereka dalam ilmu pengetahuan,” katanya.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Dengan Masyarakat Orang Asli di Kampung Semarak Api, Pagoh, dekat sini, semalam.
Dalam majlis anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pagoh itu, beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO bahagian tersebut menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di situ.
Ismail memberi contoh perkampungan tersebut yang telah menikmati pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya yang bagus, bekalan elektrik dan air bersih walaupun kedudukannya di pedalaman dan kos untuk membawa pembangunan begitu mahal.
Justeru beliau berharap, masyarakat kampung tersebut dapat menghargai kemudahan yang disediakan kerajaan BN dan terus memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi pada parti itu dalam pilihan raya umum pada 9 Mei ini.
Beliau mengajak masyarakat perkampungan tersebut menolak gabungan pembangkang PKR yang diketuai DAP dan seterusnya memberikan kemenangan BN untuk memastikan rakyat kekal hidup aman serta menikmati kemakmuran. – Jauhar. (Foto: Umnoonline)









