JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk terus memantapkan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) bagi memastikan ia terus kekal relevan di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen Itu juga menjadi perkara pokok untuk rakyat di negeri ini membuat penilaian dan pertimbangan kerana ia akan terus menjadi tawaran kerajaan sedia ada.
“Kita tahu mandat kerajaan negeri telah habis dan inilah masa ramai pihak buat tawaran. Berbeza dengan yang lain, untuk negeri Johor tawaran dari parti hari ini yang jadi kerajaan memang akan spesifik untuk mengukuhkan agama Islam di negeri ini.
“Kita lakukan antaranya adalah memastikan sekolah agama di Johor masih kekal relevan lebih-lebih lagi melihat kepada infrastruktur di bawah Fasa 5 yang melibatkan peruntukan RM290 juta bagi membina 30 SAKJ,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pembinaan Projek Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5, di Perkarangan Masjid Taman Bukit Mutiara, dekat sini pagi tadi.
Projek Fasa 5 itu melibatkan pembinaan tiga buah SAKJ iaitu SAKJ Taman Bukit Mutiara, SAKJ Taman Cahaya Masai dan SAKJ Kong Kong Laut dengan kos keseluruhan sebanyak RM18.4 juta dan dijangka siap pada akhir tahun 2019.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), Abdul Razak Mohd Yusof. Menurut Mohamed Khaled lagi, kerajaan sedia ada akan turut akan memastikan bahawa negeri Johor akan terus kekal sebagai negeri Islami.
“Peranan yang dimainkan oleh Sekolah Agama, melaluinya kita boleh kembangkan ilmu agama, beri pemahaman tentang ilmu wahyu sekaligus membentuk sahsiah yang baik pada anak-anak kita.
“Pendek kata, mengangkat Sekolah Agama akan mengangkat peranan agama Islam itu,” katanya. Menurutnya lagi, penegasan bahawa Johor mesti kekal Islami tidak bermaksud untuk menakut-nakutkan masyarakat agama lain kerana mereka masih bebas untuk mengamalkan agama masing-masing.
“Menganjurkan Johor sebagai sebuah negeri Islami bukan bermakna kita hendak aplikasikan Islam melalui hukum hakam dengan paksaan, dan ia tak mungkin boleh berjaya.
“Tetapi apabila anjurkan Johor Islami itu, kita nak pastikan masyarakat kita menjiwai bersungguh-sungguh dan mewujudkan satu persekitaran yang terbudaya dengan nilai dan norma Islam.
“Dan Johor Islami adalah cara untuk menaikkan syiar Islam dengan berhemah dan bukan secara kekerasan dan paksaan,” katanya.
Tambahnya, masyarakat di Johor bukan sahaja hidup beragama dan menjadi orang yang baik, tetapi sentiasa mendukung gaya hidup syarie dan terbangun dengan ciri-ciri Islam.








