JOHOR BAHRU 22 April – Bukan tiga, tetapi empat penjuru.
Nyata pertandingan kerusi Parlimen Pulai bakal lebih ‘panas’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAN, Pas dan seorang calon Bebas.
Selain Datuk Nur Jazlan Mohamed, 52, yang dijangka dikekalkan oleh BN untuk mempertahankan kerusi berkenaan, PAN sudah mengumumkan Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub, 56, turut mencuba nasib sekali lagi bagi merampas kawasan berkenaan.
Pada PRU-13, Nur Jazlan memperoleh 43,751 undi menewaskan dengan majoriti 3,226 undi Salahuddin (40,525 undi) yang ketika itu bertanding atas tiket Pas dan dicanangkan menjadi calon Menteri Besar Johor sekiranya pembangkang memerintah Johor, namun misi itu bukan sahaja gagal, malah Salahuddin turut tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya yang kini dikenali sebagai DUN Kota Iskandar.
Selain pertembungan semula Nur Jazlan-Salahuddin, pertandingan di Parlimen Pulai akan disertai Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Mohd. Mazri Yahya, 49, dan calon Bebas, Yap Keng Tak, 59, yang merupakan Pengerusi Persatuan Kepolisan Komuniti Johor.
Pulai terletak dalam dua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berstatus bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta menjadi sebahagian daripada koridor ekonomi yang pesat membangun, iaitu Iskandar Malaysia.
Dengan kedudukannya itu, maka tidak hairanlah Parlimen Pulai menjadi kawasan ‘rebutan’ semua pihak kerana prasarana dan kemudahan awam sudah tersedia untuk masyarakat.
Nur Jazlan yang telah berkhidmat selama tiga penggal di kawasan itu sejak 2004 hingga kini bukan sahaja merupakan seorang wakil rakyat yang sering turun padang berjumpa rakyat, malah turut mewarisi aura ayahandanya, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Setiausaha Agung UMNO yang amat mudah didekati.
Malah, pihak media juga kadangkala kebuntuan kerana tidak tahu program Nur Jazlan yang mana mahu diikut setiap kali pulang ke kawasan kerana senarainya terlalu panjang dan tidak termasuk banyak lagi aktiviti beliau bersama rakyat.
Dengan bersandarkan rekod cemerlangnya itu, maka tidak ada sebab mengapa masyarakat, terutamanya pengundi Pulai mahu wakil rakyat yang baharu, namun Nur Jazlan sentiasa mengalu-alukan siapa sahaja calon yang mahu merebut kerusi itu.
Malah, menurutnya, kehadiran ramai calon menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai menunjukkan demokrasi wujud dan subur di kawasan tersebut.
“Maklumlah kawasan Parlimen Pulai ini merupakan kawasan bandar yang penuh dengan pelbagai orang, dari pelbagai tempat dan lapisan masyarakat, maka saya mengalu-alukan siapa sahaja mahu bertanding di sini.
“Saya mempunyai penyokong sendiri, ada juga calon nomad yang lima tahun sekali baru datang, ada juga calon mempunyai tapak di sini, tapi belum lagi menawarkan diri sebelum ini, jadi kita tengoklah nanti,” katanya. – Utusan Online









