PONTIAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berharap rakyat dapat meneliti terlebih dahulu dan mengkaji setiap tawaran yang dibuat oleh BN dan membuat perbandingan dengan tawaran parti lain.
Menurutnya, kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak telah membentangkan satu manifesto yang mempunyai tawaran realistik dan dipimpin oleh kemajuan untuk masa hadapan.
“Kita dapat lihat manfesto BN sangat inklusif dan seimbang, tidak ada kelompok yang tercicir dan pelbagai tawaran progresif dan berkemajuan yang diberikan kepada kita untuk dikaji dan dipertimbangkan.
“BN Pusat ada 300 akujanji yang menyeluruh, fokus dan bertanggungjawab, manakala tawaran pembangkang hanya 60 sahaja.
“Bagi BN Johor, kita ada 230 tawaran, manakala pembangkang hanya ada 20 sahaja. Beginilah cara kita (BN) yang komited dalam usaha untuk membawa transformasi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat, di Dataran Kukup Tanjung Piai, petang tadi.
Menurutnya lagi, rakyat perlu memberi sokongan kepada BN bagi memastikan tawaran tersebut dapat dijayakan dan dilaksanakan.
“Menjelang pilihanraya kita semua perlu beri sokongan kepada Perdana Menteri, tetapi calon dari BN mesti pastikan tawaran besar yang dikemukakan dapat dijayakan dan dilaksanakan.
“Saya yakin pilihanraya nanti Parlimen Tanjung Piai akan hadiahkan 3-0 kepada BN,” katanya.
Keyakinan tersebut turut disuarakan oleh Perdana Menteri yang mahu rakyat di Parlimen Tanjung Piai untuk mempertahankan kerusi parlimen berkenaan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup serta merampas kembali DUN Pekan Nanas.
“Kita menang di Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 5,457 undi dan Kukup dengan 6,946 undi. Tetapi di Pekan Nanas kita tewas dengan 2,669 undi.
“Kalau menang bola 2-1 itu menang juga tetapi saya hendak menang 3-0. Saya tidak mahu ada satu gol bolos,” katanya. – Jauhar,
(Foto jauhar.my: Rakyat dan penduduk Tanjung Piai hadir beri sokongan kepada BN.)









