PRU14: Kerajaan Negeri, Pusat perlu parti yang sama

PONTIAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini senada dengan Pengerusi BN Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang mahukan kerajaan pusat dan negeri adalah dari parti yang sama bagi memastikan perancangan dapat dijayakan dan dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai perancangan besar untuk memastikan Johor muncul sebagai kuasa ekonomi baharu negara dan ia tidak akan menjadi kenyataan jika tiada persefahaman.

“Saya harap rakyat memahami kerana kita (BN) mempunyai macam-macam perancangan, tetapi apa yang penting kerajaan pusat dan negeri mesti dari parti yang sama,” katanya semasa berucap pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat, di Dataran Kukup Tanjung Piai, petang tadi.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof dan Pegawai Daerah Pontian, Mohd Shukri Mohd Masbah.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut sependapat bahawa hubungan akrab antara kerajaan pusat dan negeri dapat memberi banyak faedah dan manfaat.

“Kita perlu kekalkan hubungan itu lebih-lebih lagi kita di Johor ada perancangan dan agenda besar dan menarik yang boleh bantu negara kita berjaya.

“Ada banyak permohonan dari rakyat, dan sudah tentulah kalau bukan Perdana Menteri, kepada siapa lagi kita nak minta untuk penuhi segala kehendak dan harapan rakyat.

“Kita di Johor hendak jadi kuasa ekonomi baharu dan bersaing dengan Singapura, jadi kalau kita rancang tanpa kerjasama kerajaan pusat pasti kita tidak boleh terjemah dan realisasikan matlamat itu,” katanya.

Tambahnya lagi, menerusi Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak RM364 juta telah diperuntukkan untuk Parlimen Tanjung Piai termasuk kos penyelenggaran hakisan pantai dan naik taraf jalan.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM3 juta untuk petani, penternak dan nelayan Tanjung Piai, RM3 juta untuk pembangunan Pekan Kukup serta pembesaran Hospital Pontian dalam tempoh lima tahun. – Jauhar. (Foto: Dato’ Sri Najib ketika hadir ke Parlimen Tanjung Piai. Jauhar.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *