PRU14: Jawatan MB, Khaled serah kepada Sultan Johor, PM

JOHOR BAHRU 26 April: Dato’ Mohamed Khaled Nordin menyerahkan kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Khaled Nordin yang memecahkan tradisi di negeri ini dengan bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Negeri (DUN) Permas berkata, beliau tidak memikirkan soal kedudukannya sebaliknya fokusnya kini hanya untuk mengetuai Barisan Nasional (BN) negeri memenangi PRU-14.

“Pokoknya, sekarang ini saya adalah Pengerusi BN negeri dan MB sementara. Maka saya ‘lead’ (ketuai) pilihan raya umum ini. Selepas itu, seperti biasa kontrak saya (sebagai MB) habis…terserahlah kepada pucuk pimpinan dan Sultan.

“Saya tidak fikir soal fikir soal nak jadi Menteri Besar lagi atau tidak…nak jadi Menteri ke atau tak ada apa-apa (jawatan) ke. Itu semua saya tidak fikir. (Apa) yang penting, saya sebagai ‘jeneral’ (ketua), saya nak pastikan BN menang,” katanya selepas melancarkan Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Khaled berkata, senarai nama calon BN negeri yang bertanding pada PRU-14 adalah kekal dan tidak berubah menjelangnya hari penamaan calon esok. – UTUSAN ONLINE

KHALED NORDIN menyerahkan Skim Perlindungan Takaful Rakyat kepada seorang penerima di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, Johor. – UTUSAN ONLINE/RAJA JAAFAR ALI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *