Pengerang cipta sejarah baharu

KOTA TINGGI: Pengerang cipta sejarah baharu apabila dua mahkamah bernilai RM25 juta dibangunkan di kawasan berkenaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mahkamah sesyen dan majistret itu dijangka siap sebelum 2020.

“Harapan saya mahkamah ini akan jadi mahkamah yang begitu digunakan. Kita lihat pembangunan yang berlaku di Pengerang, projek kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bersaiz empat kali ganda lebih besar dari Kerteh dan Taman tema air Desaru.

“Banyak elemen-elemen pembangunan peringkat antarabangsa akan berlaku. Jadi persediaan dari segi mahkamah dan hakim perlu dan wajar diadakan.

“Projek bernilai RM25 juta ini dijangka siap sebelum 2020,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Tapak Mahkamah Baharu Pengerang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jalil Marzuki, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Persekutuan Malaysia, Hasbi Hassan, Pengarah Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Jabatan Kerja Raya, Ir. Muhammad Azman Jamrus.

Mahkamah itu akan dibina di atas tapak seluas dua ekar di Bandar Penawar bermula September ini. Azalina berkata, cetusan idea pembinaan mahkamah berkenaan diilhamkan sendiri oleh beliau selaku Ahli Parlimen berkenaan.

Tambahnya, pembinaan kompleks mahkamah itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan yang sentiasa berpandangan jauh dalam merancang keperluan pembangunan infrastruktur fizikal mahkamah.

Terdahulu, bangunan setinggi dua tingkat itu akan dilengkapi satu bilik bicara mahkamah sesyen dan satu bilik bicara mahkamah majistret.

Mahkamah yang bakal menampilkan ciri moden akan dilengkapi antaranya dengan kamar hakim, pejabat pendaftaran dan pentadbiran, ruang awam dan komersial serta ruang bagi pengurusan polis serta orang kena tahan (OKT).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *