KLUANG, 24 April: Pencapaian kerajaan negeri yang berjaya menyedia dan menyiapkan 16,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) setakat ini membuktikan dasar dan strategi yang dibentuk sepanjang lima tahun adalah adil, inklusif dan bertanggungjawab.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan tersebut juga adalah kerana faktor perubahan unjuran yang bertambah pada setiap tahun.
“Setiap tahun kita ubah unjuran dan penambahan, bukannya kurangkan seperti negeri Selangor. Masa bentang manifesto pada pilihanraya umum Ke-13, kita janji 6,000 unit tetapi sekarang kita berjaya mencapai 16,000 unit.
“Kemudian, kita ubah unjuran daripada 30,000 unit, naik kepada 60,000 unit dan menjelang tahun 2023, ia meningkat kepada 100,000 unit.
“Di Kluang sahaja, kita mensasarkan sebanyak 5,000 unit. Kesemua sasaran tersebut pasti akan berjaya dicapai kerana kerajaan negeri mempunyai dasar perumahan yang adil, inklusif dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Penyampaian Hakmilik Kg. Sri Muafakat, Mukim Niyor dan Kg. Seri Tenggara, Mukim Kluang, di Taman Mengkibol, dekat sini pagi tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday; Pengarah Tanah Dan Galian Johor, Mohd Halim Hasbullah; Pegawai Daerah Kluang, Mohd Noh Ibrahim dan Pengurus KSL Devepment Sdn Bhd, Ku Hwa Seng.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan Kluang sebagai kawasan industri hiliran berasaskan minyak sawit.
“Kluang berada di tengah-tengah negeri Johor dan terhubung dengan banyak tanaman kelapa sawit, maka ia boleh menjadi pusat kepada industri hiliran berasaskan minyak sawit.
“Saya percaya kerajaan sedia ada inilah yang terbaik untuk memberi tawaran sekaligus menjayakan hasrat tersebut, bukannya pihak pembangkang yang lari ke tempat lain sebab mereka tiada tawaran untuk masyarakat di kawasan ini.
“Saya berharap supaya masyarakat di kawasan ini memikirkan masa depan dan memilih mereka yang sememangnya mempunyai perancangan dan keupayaan untuk melaksanakannya hasil sokongan kuat dari kerajaan pusat,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau menyempurnakan penyerahan RMMJ melibatkan sebanyak 376 unit berharga RM140,000 seunit.
Manakala seramai 116 pemohon dari Kg. Sri Muafakat, Mukim Niyor serta 136 pemohon dari Kg. Seri Tenggara, Mukim Kluang menerima hakmilik masing-masing.








