Lebih 300 Hak Milik Tanah Peneroka Bakal Diselesaikan

MERSING, 18 April – Kerajaan Johor berjanji akan menyelesaikan pemberian hak milik tanah kepada lebih 300 peneroka FELDA di seluruh negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya akan menyempurnakan baki permohonan tanah jika peneroka FELDA terus memberi sokongan kepada kerajaan.

“Insya-Allah, jika peneroka FELDA memberi sokongan berterusan kepada kerajaan, kita akan sempurnakan baki (permohonan tanah) selepas pilihan raya ini,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Hak Milik Peneroka FELDA Tenggaroh 5 dan Notis 5A Peneroka FELDA Tenggaroh 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohd Halim Hasbullah; Pengurus Besar FELDA Wilayah Johor Bahru, Abd Rahman Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Mersing yang juga penyandang kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Ketua Peneroka FELDA Tenggaroh 5, Adabi Arip.

Seramai 350 peneroka FELDA Tenggaroh 5 menerima geran hak milik tanah, manakala 487 peneroka FELDA Tenggaroh 2 pula menerima Notis 5A.

“Dengan penyampaian ini, kita telah menyempurnakan hak milik tanah dan Notis 5A kepada seramai 2,925 penduduk daripada 3,296 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengajak masyarakat FELDA supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan kerana agenda untuk mereka belum selesai lagi.

Katanya, kerajaan akan memasuki fasa untuk membangunkan FELDA dengan kemewahan dan kemajuan, terutamanya apabila FELDA melancarkan inisiatif FELDA 2.0

“Jadi, kita masuk fasa lain dan saya minta masyarakat FELDA Johor bersama-sama untuk menyambut dan menjayakannya.

“Saya berharap peneroka FELDA mempertahankan kerajaan sedia ada jika mahu semua perkara berkenaan diteruskan,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menukar permaidani dan memasang penghawa dingin di masjid serta menaik taraf Dewan Tenggaroh 5. – Jauhar. Foto: Jauhar.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *