PONTIAN: Banjir kilat bukanlah perkara asing bagi penduduk Jalan Mohsin Kampung Parit Sikom dekat sini, kerana kejadian berkenaan kerap berulang.
Penduduk, Rabiah Mohd Salleh, 46, berkata, rumah yang didiami bersama tiga anaknya sering kali dinaiki air setiap kali hujan lebat.
Katanya, jika sebelum ini air naik sehingga mencecah paras betis dengan hanya dua rumah sahaja yang terjejas.
Bagaimanapun kejadian banjir yang berlaku tiga hari lalu agak luar biasa menyebabkan penduduk cemas kerana air naik begitu cepat sehingga mencecah paras paha.
Akibatnya, tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan banyak harta benda musnah sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian.
Rabiah berkata, halaman rumahnya kelihatan seperti sungai dengan keadaan air yang begitu deras kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu.
Katanya, hujan lebat pada sebelah petang memburukkan lagi keadaan sehingga dia dan anak-anak dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Pekan Parit Sikom.
“Saya terlelap sekejap, selepas bangun tengok air sudah penuh di depan rumah. Keadaannya seperti sungai ketika itu.
“Mujur saya sempat alihkan kereta daripada ditenggelami banjir. Air naik memang terlalu cepat, saya dan anak tak sempat nak selamatkan apa-apa barang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pontian, Mohd Khairul Anuar Ishak berkata, pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Balai Raya Pekan Parit Sikom telah ditutup petang semalam.
Katanya, tujuh keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah-rumah masing selepas air surut dan cuaca bertambah baik.
– Sinar Harian









