JOHOR BAHRU, 27 Apr – Kerajaan negeri akan menyelesaikan segera projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMMJ) Taman Setia Indah, dekat sini, dengan melantik Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn. Bhd. sebagai kontraktor penyelamat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday, berkata KPRJ akan menyelesaikan baki pembinaan infrastruktur projek tersebut yang tidak dapat disiapkan oleh pemaju mengikut jadual.
“Kerajaan negeri bersetuju melantik KPRJ untuk menjadi kontraktor penyelamat bagi menyelesaikan baki pembangunan infrastruktur projek berkenaan.
“KPRJ akan memulakan kerja-kerja pengambilalihan seminggu dari sekarang dan ia dijangka akan dapat disiapkan pada Oktober tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff dan Setiausaha Bahagian, Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Perumahan), Mohd Radzi Mohd Amin.
Tambah Jais, projek perumahan itu sememangnya dalam pemerhatian dan pemantauan kerajaan negeri, malah telah diambil tindakan awal sebelum ia tular di media sosial.
Jelasnya, perkara itu dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri sentiasa membuat pemantauan sehingga projek itu dapat disiapkan sehingga lebih 90 peratus.
“Pihak pemaju telah mengalami beberapa masalah sekitar tahun 2013 sehingga 2014 apabila harga bahan-bahan binaan naik sehingga 20 peratus.
“Ia menyebabkan pembangunan projek tersebut mengalami kelewatan dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan. Selain itu, pemaju turut menghadapi masalah aliran tunai, pinjaman perumahan oleh pembeli serta isu tindakan mahkamah oleh pihak kontraktor dan juga tribunal oleh pembeli.
“Jadi, kerajaan negeri terpaksa campur tangan dan mengambil tindakan segera bagi memastikan projek itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak KPRJ juga telah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan untuk membuat penilaian bagi mengesahkan baki kerja dan kos yang diperlukan.
“Manakala pihak pemaju pula telah membayar tuntutan LAD kepada pembeli bagi Fasa 1 berjumlah RM564,972.88,” katanya.
Status projek rumah mampu milik tersebut, yang dibangunkan oleh YMN Properties Sdn. Bhd., tidak dikategorikan sebagai projek terbengkalai, sebaliknya projek sakit.
Kerja-kerja pembinaannya telah mula dilaksanakan pada April 2012 secara berfasa, iaitu Fasa 1 melibatkan 212 unit rumah teres setingkat yang telah siap sepenuhnya pada tahun lepas.
Sementara, baki projek yang tidak dapat disiapkan mengikut jadual masing-masing adalah rumah teres dua tingkat, iaitu Fasa 2 (136 unit), Fasa 3A (95 unit) dan Fasa 3B (196 unit) yang kini berada pada tahap kemajuan lebih 90 peratus.
Pelantikan KPRJ adalah berdasarkan rekod pencapaian anak syarikat kerajaan negeri itu dalam menyelesaikan projek terbengkalai melibatkan Sekolah Agama Kerajaan Johor dan pelbagai projek lain termasuk Projek Yayasan Perumahan Untuk Termiskin di Taman Setia Indah.









