ISKANDAR PUTERI, 30 April – Pembinaan jalan pintas yang menghubungkan jalan Pontian-Skudai (Pulai) ke Ulu Choh-Iskandar Puteri akan menjadi jalan alternatif bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna untuk ke Johor Bahru.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata jalan pintas sepanjang lima kilometer itu telah siap dibina dengan kos keseluruhan berjumlah RM5 juta.
“Kita sedia maklum jalan Pontian ke Skudai melalui Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus ke Johor Bahru sentiasa mengalami kesesakan dan menjadi rungutan orang ramai.
“Jadi dengan adanya projek ini, pemaju secara tidak langsung buat jalan pintas dan saya berharap supaya masyarakat boleh menggunakan jalan ini sebagai alternatif untuk mengelak daripada melalui jalan Pontian-Skudai yang semenangnya sesak.
“Jalan pintas ini sudah siap dan akan bertemu dengan jalan Ulu Choh-Iskandar Puteri melalui kawasan ini, jadi kita minta masyarakat sedar akan adanya jalan pintas ini supaya sama-sama dapat kurangkan kesesakan di depan UTM,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Pulai – jauhar online









