JOHOR BAHRU – Beberapa projek mega yang akan dibangunkan di negeri ini seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mahupun Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru diyakini tidak akan ‘membunuh’ industri penerbangan negara.
Sebaliknya, projek terbabit hanya dijadikan sebagai alternatif lain kepada rakyat untuk memilih jenis perjalanan yang dikehendaki.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sudah menjadi tugas kerajaan untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat dan sudah tentu perancangan yang dibuat tidak akan mengetepikan sektor lain.
“Saya yakin, apabila pihak kementerian membuat perancangan, ia sudah tentu secara holistik dan bukannya mengambil kira satu kaedah sahaja.
![]() |
| Hasni (kiri) bersama Penyandang Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bergambar bersama pada majlis berkenaan. Foto; Sinar |
Jika tidak mengambil kira sektor lain mungkin syarikat bas atau sistem-sistem lain sudah tidak boleh berniaga.
“Apa yang kerajaan buat ini adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dan sudah tentu syarikat bas, penerbangan dan kereta api sendiri sudah ada perancangan bisnes masing-masing,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah jambatan bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang mendakwa projek ECRL dan HSR hanya akan ‘membunuh’ industri penerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines (Mas), AirAsia dan Malindo Air.
Tun Daim dalam satu kenyataan di Langkawi baru-baru ini mempertikaikan keputusan kerajaan meluluskan projek ECRL dan HSR dengan kos RM55 bilion kerana beranggapan ia hanya akan ‘membunuh’ industri penerbangan negara.
Dalam pada itu, Hasni berkata, projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer yang dianggarkan menelan kos RM9.4 bilion yang dimulakan bulan ini dijangka siap pada suku keempat 2021.
Katanya, projek berkenaan sepatutnya bermula pada 1 Januari tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa kekangan termasuk reka bentuk dan maklum balas daripada masyarakat setempat.
“Menerusi projek ini, kita juga akan membuat pelebaran tiga jambatan di Johor Bahru iaitu di Jalan Dewata, Jalan Abad dan Jalan Kebun Teh.
Pelebaran jambatan ini menjadi empat lorong dua hala sudah tentu akan memberi manfaat kepada penduduk yang telah sekian lama mengalami kesulitan akibat jambatan yang begitu sempit dan sering kali berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak,” katanya.
Apabila projek ini siap, pengguna akan dapat memendekkan waktu perjalanan antara Johor Bahru-Gemas daripada empat jam kepada satu jam 30 minit sahaja.
– Sinar Harian










