KUALA LUMPUR: Pembelian pelabur asing di Bursa Malaysia bernilai RM324.7 juta minggu lalu.
Penyelidik di MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research, Adam M Rahim, berkata ia adalah kali kelapan tahun ini pembelian mingguan oleh pelabur asing melepasi paras RM300 juta.
Bagaimanapun, pembelian dalam minggu dikaji lebih rendah sedikit berbanding RM328 juta yang dicatat minggu sebelumnya.
Demikian menurut Adam dalam laporan aliran masuk dana minggu MIDF Research pagi ini. Beliau berkata, pelabur global mencatat permulaan kukuh dalam minggu dikaji apabila mereka membeli saham dengan nilai bersih sehingga RM188.3 juta pada Isnin.
Ia adalah jumlah harian terbesar yang dibeli pelabur asing dalam minggu dikaji, bersamaan hari yang mana KLCI mencatat peningkatan 12.7 mata susulan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald meluahkan keyakinan berhubung perdagangan AS-China di media sosial, sekali gus meredakan perang perdagangan antara kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu.
Pelabur asing adalah pembeli bersih dalam 12 daripada 15 minggu tahun ini berbanding 13 minggu sepanjang 2017. – BH









