PASIR GUDANG: MCA telah memberi banyak sumbangan dan jasa kepada masyarakat Tiong Hua khususnya dalam pendidikan, walaupun parti itu diburuk-burukkan oleh pihak tertentu.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata justeru itu, beliau tidak bersetuju dengan sebuah parti pembangkang yang mahu ‘membunuh’ MCA.
“MCA ada beri (sumbangan) kepada masyarakat Tiong Hua. MCA adalah mewakili Cina yang sederhana. MCA tidak pernah bertukar pasangan,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah SJKC Ladang Grisek di Eco Tropics, Pusat Perniagaan Eco World di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalannya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Dato’ Chang Khim Wah.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor membidas sebuah parti pembangkang yang mengatakan PAS adalah yang terbaik dahulu, namun kini sudah berubah.
“Parti itu (DAP) dulu kata PAS adalah segala-galanya iaitu PAS ialah cinta hati, molek dan cantik, tetapi menceraikannya lima tahun kemudian dan mengambil seorang yang berusia 93 tahun.
“Namun, MCA tidak pernah tukar pasangan. Mereka tahu peranan, kekal dalam BN dan berjuang untuk hak orang Cina,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah hanya MCA satu-satunya pihak yang memperjuangkan pendidikan Cina pada setiap masa.
“Ia bukan hanya ketika pilihanraya. Sebanyak 25 sekolah Cina telah pun dibina kerana adanya MCA.
“Saya telah banyak kali menyatakan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sangat sederhana,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah sekolah itu yang dipindahkan dari Tangkak ke tapak seluas 5.97 ekar di Jalan Kota Masai, Eco Tropics di sini.
![]() |
| Foto: Jauhar.my |
Kos pembinaan untuk Fasa 1 sebanyak RM7.5 juta akan dibiayai pemaju hartanah terkemuka, EcoWorld Malaysia, manakala tanah bernilai RM11 juta disumbang oleh kerajaan negeri.
Pembinaan sekolah itu akan dijalankan menerusi tiga fasa dengan Fasa 1 dijadualkan bermula Julai ini dan dijangka memulakan sesi persekolahan pada 2020.
Pembangunan Fasa 1 sekolah itu boleh menampung kira-kira 600 murid dan akan mempunyai bangunan blok empat tingkat yang dilengkapi dengan 24 kelas, kantin, makmal, perpustakaan, kelas komputer, bilik muzik, bilik guru dan pejabat pentadbiran.










