Aktiviti Saham Beri Kesan Positif Ekonomi Johor

BATU PAHAT: Kerajaan negeri meletakkan keyakinan bahawa penyertaan dalam aktiviti saham amanah mampu memberi kesan positif yang besar kepada ekonomi Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed berkata, ini berikutan Johor merupakan negeri ketiga tertinggi di Malaysia dengan sejumlah 1.42 juta pemegang unit amanah saham.

“Keupayaan masyarakat di Johor untuk mempunyai lebihan simpanan dan penyertaan dalam pelaburan saham amanah adalah perkara yang kritikal dan kita mahu memberi perhatian yang serius dalam perkara itu.

“Sudah tentulah kita tidak akan berpuas hati dengan sekadar berada di tangga ke-3. Johor ini adalah negeri 01, jadi kami di Johor akan terus berusaha memastikan dalam aktiviti simpanan dan pelaburan saham amanah sekalipun, Johor akan menjadi nombor 1,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018, di Stadium Batu Pahat, hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sementara itu, beliau berkata kedudukan dan saiz ekonomi Johor berada dalam keadaan yang baik dan memberangsangkan.

“Dengan kerjasama dan sokongan berterusan Kerajaan Pusat, Johor terus menjadi pilihan bagi pelbagai jenis pelaburan dan projek-projek mega.

“Malah, dengan adanya pelaburan dan aktiviti ekonomi yang bertambah dan berkembang saban tahun, kerajaan negeri telah berjaya menyediakan kira-kira 180,000 peluang pekerjaan sejak awal tahun ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua perkembangan itu antara lain telah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat umum.

“Lebih ramai anggota masyarakat kita mempunyai peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang lebih baik dan stabil, sekali gus membolehkan lebih ramai masyarakat kita mempunyai lebihan untuk dijadikan simpanan atau pelaburan.

“Ia juga membolehkan masyarakat di Johor berpeluang meneroka dan mengambil bahagian dalam pelbagai sektor yang bersesuaian dengan kemahiran dan keperluan mereka.

“Malah, ia menjadikan Johor sebagai negeri yang mempunyai kepelbagaian sumber yang stabil yang menyumbang kepada ekonominya,” katanya. – Jauhar.

Foto: Jauhar.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *