7 Projek InfraRakyat di Mersing dilancar

MERSING, 18 April: Kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini melancarkan tujuh projek InfraRakyat di sini, untuk menjadikan daerah ini sebagai pusat pelancongan serantau.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata semua projek itu adalah cerminan komitmen kedua-dua pihak yang komited mahu membawa perubahan, kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Katanya, pembangunan dan kemajuan tidak semestinya berlaku di Kuala Lumpur atau Johor Bahru sahaja.

“Jika ECER tidak masuk ke Mersing 10 tahun lalu, saya berpendapat Mersing masih lagi mundur seperti dahulu.

“Suatu ketika dahulu, pembangunan hanya disalurkan kepada Pulau Langkawi dan tiada langsung untuk kawasan ini.

“Sekarang ini kita mahu buat Mersing lebih hebat daripada Langkawi,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembangunan Daerah Mersing di Pantai Penyabong di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Ketua UMNO Bahagian Mersing yang juga penyandang kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, antara projek itu ialah Lembah Tenusu di Jemaluang bernilai RM70 juta yang akan bermula pada tahun ini dan akan menghasilkan empat juta liter susu segar menjelang 2021.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjayakan Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing bernilai RM26.5 juta memandangkan ia adalah kawasan pendaratan tangkapan ikan.

Foto: jauhar.my

“Projek lain adalah membangunkan Kampungstay Air Papan dengan peruntukan RM15 juta yang akan bermula tahun ini dan siap 2019, menaik taraf Jeti Sungai Jemaluang membabitkan peruntukan RM1 juta untuk kemudahan komuniti nelayan serta menaik taraf kawasan Rehat dan Rawat (R&R Simpang Tenggaroh) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

“Sebanyak RM1.2 juta akan disediakan untuk memasang lampu jalan dari Persimpangan Tenggaroh ke Tanjung Leman sepanjang 25 kilometer, selain pembangunan pelancongan di Tanjung Penyabong,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media Mohamed Khaled berkata, pihaknya turut bercadang untuk membina projek persimpangan bertingkat dan jambatan baharu Mersing yang bernilai RM170 juta dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi dan pelancongan tempatan serta mengatasi kesesakan.

“Ia akan menjadi fokus utama dan kita akan pastikan mendapat persetujuan kerajaan pusat selepas pilihan raya,” katanya, sambil menambah perkara itu sudah diletakkan dalam senarai keutamaan.

Foto: jauhar.my

– Jauhar.my

,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *