Sekolah Agama Terbengkalai Berjaya Diselesaikan

Foto: Jauhar

JOHOR BAHRU – Kejayaan kerja-kerja pembinaan sekolah agama di negeri Johor yang akan memasuki fasa ke-5 tahun ini, membuktikan usaha Kerajaan Negeri mengatasi masalah sekolah agama terbengkalai berjaya diselesaikan secara berkesan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha berterusan itu juga menunjukkan prestasi membanggakan apabila kerja-kerja membina dan membaik pulih kesemua 77 buah sekolah agama yang terbengkalai menerusi fasa 1 hingga 4 telah berjaya disiapkan.

“Kerajaan Negeri akan menandatangani dan menyerahkan kepada syarikat milik Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk membina 30 buah lagi sekolah agama di seluruh negeri dalam masa terdekat.

“Malah, kawasan Pulai ini merupakan Parlimen ketiga yang saya serahkan sendiri kunci-kunci sekolah agama sepertimana yang saya telah lakukan di kawasan Parlimen Ayer Hitam dan Tebrau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor bagi Parlimen Pulai, di Sekolah Agama Taman Anggerik, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff.

Menurutnya, terdapat banyak projek sekolah agama yang terbengkalai sewaktu beliau mula-mula mengambil alih kepimpinan negeri.

“Pada ketika itu Kerajaan Negeri terpaksa memikirkan cara terbaik bagi menyempurnakan kerja-kerja itu dan antara keputusan terpenting adalah kita berhentikan kontraktor lama dan gantikan dengan yang baharu iaitu KPRJ.

“Kebetulan saya sendiri adalah Pengerusi KPRJ, maka saya tidak boleh gagal dalam menyelesaikan masalah itu kerana jika pembinaan sekolah agama itu terus terbengkalai, ia juga sudah tentu tidak dapat memenuhi kehendak masyarakat sebagaimana yang dikehendaki melalui kajian Pelan Suara Hati,” katanya.

Jelas Mohamed Khaled, melalui kajian itu, salah satu daripada kehendak masyarakat Islam di Johor adalah supaya penekanan diberi kepada soal agama Islam supaya Johor menjadi sebuah negeri yang Islami dan rakyatnya berpegang kepada ajaran Islam.

Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan kunci bangunan sekolah agama kepada tiga buah sekolah dalam kawasan Parlimen Pulai, iaitu Sekolah Agama Taman Anggerik, Sekolah Agama Bukit Mewah dan Sekolah Agama Taman Impian Emas. – Jauhar

Foto: Jauhar
, , ,