
Sebuah projek integrasi perindustrian, perumahan dan komersil bakal dibangunkan di Pengerang hasil sebuah Memorandum Perjanjian yang dimeterai antara Izin Budi Sdn Bhd dan Serba Dinamik Holdings Sdn Bhd hari ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah, projek itu akan dibangunkan atas tapak berkeluasan 132 ekar dan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.
“Kami akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Global “MRO” (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) dan “IRM” (pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan) minyak dan gas yang pertama di Malaysia.
“Projek ini juga akan meliputi pembangunan ‘Pengerang Eco-Industrial Park’ (PeIP), ‘Pengerang International Commercial Centre’ (PICC), dan ‘Pengerang Northshore Residence (PNR),” kata beliau selepas ditemui pada Majlis Tandatangan Memorandum Perjanjian yang disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
Tambah Mohd Abdul Karim, tapak projek PeIP ini adalah strategik kerana berdekatan dengan Kompleks Integrasi Pengerang (PIC), Kompleks Petroleum Berintegrasi Pengerang (PIPC), dan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT).
“Bilangan kilang, mesin jentera serta peralatan yang banyak di PIC, PIPC dan PDT memerlukan ‘MRO’, IRM’ serta perkhidmatan perolehan kilang yang berkala bagi mengekalkan tahap kecekapan dan keselamatan yang baik.
“Di samping itu, PeIP turut akan menggabungkan aspek Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menerapkan kemahiran yang relevan, terutamanya bagi rakyat Malaysia yang akan menjadi sumber modal insan bagi industri minyak, gas dan petrokimia di Pengerang,” katanya.
Mohamed Khaled, dalam pada itu, berkata Kerajaan Negeri sememangnya mengalu-alukan pelaburan seperti yang dibawa oleh kerjasama kedua-dua syarikat itu kerana membawa manfaat yang baik kepada rakyat, khususnya rakyat Johor.
“Memang menjadi amalan Kerajaan Negeri untuk memilih dengan teliti pelabur-pelabur yang kita bakal terima kerana kita mampu untuk berbuat demikian.
“Kita ingin memastikan pelabur yang memasuki Johor akan membawa nilai tambah kepada ekonomi negeri dan boleh membawa manfaat kepada rakyat dari segi kualiti pekerjaan serta nilai gaji yang ditawarkan,” katanya.








