
JOHOR BAHRU – Seramai 146 penduduk kampung di Permatang Kempas, di sini boleh menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk mendapatkan hak milik tanah untuk didiami telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
Perkampungan yang terlibat adalah Kampung Permatang 5 yang melibatkan seramai 45 pemohon, Kampung Lorong Aman (45 pemohon), Kampung Lembah Murni (27 pemohon) dan Kampung Jalan Masjid (29 pemohon).
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang diadakan minggu lepas telah meluluskan permohonan itu secara dasar.
“Kita sudah luluskan secara dasar permohonan penduduk kampung itu dan kita bersetuju supaya penempatan mereka patut dikekalkan dan mendapat hak milik.
“Tapi kajian akan dibuat terlebih dahulu kerana kemungkinan ada yang terlibat dengan sungai. Manakala, yang tidak terlibat kita akan pastikan mereka juga akan dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas selesai mengadakan lawatan ke Kampung Permatang Kempas, di sini, semalam.

Menurut Mohamed Khaled, dari segi dasar Kerajaan Negeri, semua tanah-tanah yang diberi hak milik kepada orang Melayu termasuk di Permatang Kempas akan dirizabkan sebagai Rizab Melayu.
“Sebanyak 29 peratus daripada tanah di negeri Johor adalah Rizab Melayu. Ini sekaligus menjadikan Johor sebagai negeri yang paling tinggi mempunyai tanah Rizab Melayu.
“Ini membolehkan lebih ramai orang Melayu untuk tinggal dalam kawasan bandar supaya mereka dapat menikmati segala peluang yang ada demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke beberapa kawasan di sekitar Kampung Permatang Kempas yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat.
Ia antara lain untuk meninjau sendiri kawasan yang terlibat dengan banjir serta mendengar masalah penduduk berkenaan isu hak milik tanah.








