
MUAR – Permit kebenaran sembelihan untuk ibadah korban, bukan perkara baharu, sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan bertujuan keselamatan dan kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ismail Mohamed, berkata penguatkuasaan permit ini sebahagian daripada usaha kerajaan melindungi pengguna terutama daripada penyakit berkaitan haiwan ternakan.
Selain itu, katanya, bayaran RM35 bagi permit ditanggung sepenuhnya oleh penternak dan ia merangkumi beberapa perkara termasuk pengambilan darah haiwan ternakan bagi memastikannya selamat untuk pengguna.
“Peraturan ini sudah lama dikuatkuasakan menerusi Akta Binatang 1953 pindaan 2013. Sebenarnya tidak ada isu mengenainya kerana ia bertujuan melindungi pengguna,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Semalam, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, mengingatkan umat Islam di negeri ini mendapatkan permit sembelihan terlebih dulu daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum melakukan ibadat korban sempena Aidiladha tidak lama lagi.
Langkah itu bagi memastikan semua haiwan ternakan yang akan dikorbankan bebas daripada sebarang penyakit, selain mengawal penyakit berkaitan ternakan.
Ismail berkata, orang ramai khususnya umat Islam tidak perlu bimbang mengenai perkara berkenaan kerana ia untuk kebaikan pengguna dan kos bayaran permit itu juga adalah rendah.
Sementara itu, JPV Johor dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan pihaknya akan memantau aktiviti penyembelihan ternakan bagi tujuan ibadat korban dan perlu mendapatkan permit berdasarkan Kaedah-Kaedah Binatang, Kawalan Penyembelihan 2009.
Bagi pemindahan ternakan, karkas dan daging perlu mendapat kebenaran pemindahan daripada JPV berhampiran dan Sijil Kesihatan Veterinar untuk kawalan penyakit yang turut diwartakan mengikut Seksyen 36 Akta Binatang 1953 akan dikeluarkan selepas diperiksa.
Mengikut akta sama, kegagalan mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan penalti maksimum RM15,000. – Berita Harian








