
JOHOR BAHRU: Sistem pendidikan Islam kerajaan negeri yang bakal memasuki usia 100 tahun berjaya melahirkan masyarakat Johor yang hidup bersederhana.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sistem pendidikan agama di Johor berkesan mendidik masyarakat Islam menjadi lebih toleransi dan bertolak ansur.
Selain itu, katanya, usaha kerajaan negeri untuk terus membina lebih banyak sekolah agama perlu difahami dan disambut baik termasuk masyarakat bukan Islam.
“Dengan ada sistem sekolah agama yang sudah banyak dibina dan terus dibina ini, ia menyaksikan lahirnya masyarakat Melayu Islam Johor yang sangat bersederhana.
“Individu yang tidak mengamalkan kesederhanaan dan tidak bertoleransi dalam masyarakat akhirnya akan bermasalah. Ini sumbangan yang harus kita faham, katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci bangunan Sekolah Agama Johor (Parlimen Pulai).
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan kunci kepada tiga sekolah agama dalam Parlimen Pulai iaitu Sekolah Agama Taman Impian Emas, Taman Anggerik dan Taman Bukit Mewah.








