Pemimpin muda UMNO perlu galas amanah lebih besar

Khaled Nordin menyampaikan cenderahati kepada Khairy sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang hari ini. – Foto Jauhar

PASIR GUDANG – Pemimpin muda dalam UMNO perlu ditonjol dan digalas dengan amanah serta tanggungjawab yang lebih besar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, UMNO adalah parti yang sarat dengan bakat dan potensi yang perlu dibongkar.

“Jadi UMNO mesti membongkar segala potensi dan bakat ini, khususnya potensi dan bakat ‘the second echelon’ nya.

“Kami sangat berkeyakinan bahawa, pemimpin muda harus ditonjolkan, dengan berani, dan digalaskan dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar.

“Hanya dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar, pemimpin muda akan belajar, menimba pengalaman dan pendedahan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang yang dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, dalam hal itu Khairy Jamaluddin perlu mengajak para pemuda kita membangunkan cita-cita yang besar untuk parti, bangsa dan perjuangan itu.

“Perjuangan orang muda dalam parti ini bukan sekadar mencari tukang sorak dan penghayun bendera, ia lebih dari itu.

“Terutamanya cita-cita politik dan sosial yang mulia, yang menjadi enjin penggerak kemajuan bangsa,” katanya.

Ujar beliau lagi, UMNO memerlukan cita-cita baru yang lebih luar biasa, jalan yang menjangkaui perjuangan hak dan kepentingan Melayu.

“Kerana itulah, pemimpin masa depan Melayu mesti mempunyai cita-cita besar, impian besar dan ilham luar biasa,” katanya.

Antara usul yang dibincangkan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang hari ini ialah mengenai kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing, kualiti dan peluang pekerjaan tidak selari dengan hasrat negara menjadi negara maju, isu perumahan serta politik dan pemerintahan Islam.

,