
GELANG PATAH – Umno Johor menggariskan lima aspirasi baharu sebagai asas perjuangan parti itu memartabatkan bangsa Melayu dan menjaga kepentingan bangsa lain di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BN khususnya Umno perlu memastikan kemenangan besar dalam PRU akan datang dan bukan hanya sekadar menang dengan majoriti mudah.
“Jika ini berlaku kita takkan jadi pemerintah berwibawa dan sukar untuk mentadbir, sebab itu kita tidak boleh menang dengan majoriti mudah, kita tak mahu menang sipi, kita harus pastikan kemenangan besar,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi di Hotel Phoenix, Forest City di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.
Mohamed Khaled meletakkan aspek pengukuhan kuasa politik Melayu sebagai perjuangan utama dalam aspirasi baharu bagi memastikan masyarakat Melayu terus mendominasi politik tanah air.
“Kuasa politik Melayu perlu dikekalkan tanpa membelakangkan kemajmukan masyarakat Malaysia.
“Kita perlu pastikan dominasi Melayu dalam politik. DAP bukan sahaja hanya mahu lawan Umno tetapi tujuan mereka adalah untuk menggagalkan dominasi Melayu dalam politik,” katanya.
Beliau turut menggariskan usaha memantapkan ekonomi masyarakat Melayu sebagai aspirasi kedua dan seterusnya meletakkan kepentingan Islam sebagai garis panduan masyarakat Melayu di negeri ini selain mempertahankan kemajmukan masyarakat di Johor.
“Perancangan kita untuk pastikan orang Melayu menceburkan diri dalam sektor ekonomi tanpa mengambil hak yang dimiliki orang lain kerana kita mahu negeri ini membangun sebagai kuasa ekonomi baharu negara.
“Pada masa sama kita mahu masa depan Johor dipaksi oleh wahyu dengan mengilhamkan Islam sebagai ad-din. Kita mahu melahirkan generasi yang menyantuni dan menghidupkan Islam,” katanya.








