
BATAM: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor akan memulakan usaha mempromosi Batam sebagai destinasi percutian keluarga mulai bulan depan.
Pengerusinya, Kathryn Lee, berkata promosi itu dirangka selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa penggiat industri pelancongan sempena pelancaran Promosi Rentas Sempadan Batam dan Bintan di sini, hari ini.
Katanya, promosi itu lebih kepada mengubah persepsi masyarakat di Johor yang melihat Batam sekadar lokasi percutian beli-belah dan hiburan.
“Batam memiliki banyak hotel dan resort yang sesuai bagi percutian keluarga. Ia juga menawarkan pelbagai aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga jika mereka ke sini.
“MATTA Johor akan bertemu dengan pengendali terminal bagi membincangkan harga pakej berpatutan untuk ejen pelancongan tawarkan kepada pelanggan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada BH ketika ditemui selepas majlis makan malam bersama Kementerian Pelancongan Indonesia, penggiat industri dan ejen pelancongan dari Indonesia, Singapura dan Johor Bahru.
Lee berkata, beliau juga sudah bertemu Kementerian Pelancongan Indonesia bagi membincangkan peruntukan terutama berkaitan promosi dan pengiklanan untuk sama-sama membantu menjayakan promosi itu.
Terdahulu, Indonesia melancarkan Promosi Rentas Sempadan bagi dua destinasi di Kepulauan Riau, iaitu Batam dan Bintan dalam usaha menarik pelancong dari Malaysia dan Singapura.
Menerusi promosi Kementerian Pelancongan Indonesia itu, pelancong dari Malaysia dan Singapura boleh mendapatkan pakej percutian ke dua pulau berkenaan pada harga serendah RM134.
Pelancaran promosi disempurnakan Timbalan Menteri Bidang Pemasaran Pelancongan Luar Indonesia, Prof Dr Igde Pitana di Batam View Beach and Resort. – BH








